Sunday, December 16, 2012

Saturday, December 1, 2012

Monokrom: 2012.

Dah lama aku tak bermain dengan mod hitam dan putih. Dengan mod ini, aku dapat melihat rasa sebenar sesuatu imej, dengan menolak ketepi segala warna dan efek yang mungkin akan menyimpang sedikit tumpuan kita. Itu, bagi aku lah. Dan aku masih amatur dalam bidang ini. Maaf kalau imej-imej ini tidak seberapa pada mata kalian.









Thursday, November 22, 2012

Kata #6: Sayang Itu Busuk.

Sayang itu bukannya mengaku dia wangi, bilamana hakikatnya dia busuk, tetapi bertahan dengan kebusukan si dia. Busuk tetap busuk, tidak akan menjadi wangi hanya dengan perasaan sayang.


P/s: terima kasih, sayang. :)

Tuesday, November 20, 2012

Alter-Ego

Aku tak mahu bermain dengan kata-kata. Kata-kata itu boleh menjadi perompak yang akan menikam orang yang kau sayang di balik lorong gelap, dan seterusnya meninggalkan kau seorang diri. Kalau kau masih hidup, mungkin kau akan menjadi kesatria gelap yang menggunakan kelawar sebagai alter-ego, dan membalas dendam. Itu pun jika kau mampu hidup.

Aku mahu berusaha, untuk dapatkan apa yang orang panggil cinta.

Cinta kau.

wfx
hari yang pada mulanya gelap, namun bertukar cerah untuk aku
shah alam

Sunday, November 18, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta Ep. III

Aku seorang di atas bumbung rumah bernombor 7, memerhati langit malam yang tiada bintang, dan bulan segan mahu memancarkan cahaya pantulan daripada matahari itu, langsung sembunyi di balik awan hitam yang sesekali mendengus dan memancarkan cahaya petir, menandakan hujan akan tiba.

Di tanganku kini ada sebuah hati, yang siap diletak dalam botol kaca oleh gadis yang aku jumpa di outlet 7-11 siang tadi. Dan di tangan kiri aku pula kugenggam sepasang bateri triple A yang juga aku beli di lokasi yang sama. Malam ini harus jadi malam penentu, sama ada hati dalam botol kaca, ataupun sepersalinan sel bateri baru.

Tiba-tiba ada suara memanggil aku daripada bawah. Aku menjenguk, dan mendapati gadis yang aku jumpa di 7-11 itu berada di bawah, sambil tersenyum. Senyuman yang manja, dan membuat hati aku yang berada di dalam botol kaca itu berdegup kencang. Serta-merta, aku turut tersenyum.

Aku turun, dan berdiri di hadapan dia, seorang yang setiap tingkah lakunya, membuatkan aku tertarik, walaupun hanya dengan lirikan mata yang bersahaja. Ya, satu perasaan yang sudah lama tidak aku rasa, dan mungkin juga perasaan ini melampaui dan membunuh perasaan-perasaan yang pernah aku rasa sebelum ini. Tidak pernah aku tertarik sebegini rupa pada seorang manusia.

Nah, sila simpan hati saya ini dengan baik-baik. Terima kasih kerana sanggup mengutip hati yang telah rabak ini di tepi jalanan. Mungkin pada ketika itu Lebuhraya Persekutuan amat sesak, namun awak masih mampu menjumpai hati saya ini. Terima kasih. Itu sahaja yang mampu saya ucapkan.

Kau tersenyum, dan mengambil botol kaca itu, lalu menyimpannya di dalam beg galas yang sering kau bawa.
Dan aku takkan lupakan senyuman itu, sampai bila-bila.

Secara tiba-tiba, bintang-bintang berkelip, dan bulan memancarkan cahayanya, sambil tersenyum.

Rahmat.

Saturday, November 17, 2012

Kisah Kassim Yang Terlalu Gembira Sehingga Terperangkap Di Angkasa Raya.

Bonda aku pernah bercerita dahulu, di mana pada masa itu Bonda masih kecil. Di kampung itu, ada seorang yang cukup suka sama Bonda, sehinggakan setiap hari, Bonda akan menerima sekuntum bunga mawar daripadanya. Tapi Bonda tidak pernah berbicara dengannya.

Sehinggalah pada satu hari..

Kassim, jejaka yang menyukai Bonda datang meluahkan rasa. Kassim kata, dia tak pernah menyukai wanita lain, selain Bonda. Dia makan, dia nampak Bonda. Dia tidur, dia nampak Bonda. Dia  menuai padi, dia nampak Bonda. Seolah-olah ada seseorang yang mengukir imej bonda di kornea matanya. Dia berharap Bonda mahu menjadi miliknya.

Bonda tersenyum, dan Bonda bersetuju kerana tindakan Kassim yang memberi Bonda mawar setiap hari itu sangat mencuit hati Bonda. Muka Kassim bertukar ceria sejurus jawapan Bonda. Kassim terlalu girang sehingga dia melompat kegembiraan. Namun, disebabkan terlalu gembira, Kassim terlebih lompat, lalu menembusi atmosfera Bumi, terus ke stratosfera, mesosfera, dan terapung di eksosfera, di mana Kassim bergerak makin jauh daripada Bumi disebabkan oleh inertia yang diakibatkan oleh lantunan lompatan Kassim di permukaan Bumi tadi*. Sifat angkasa yang tidak punya geseran menyebabkan Kassim yang berada dalam keadaan bergerak(motion) tidak akan berhenti, selama-lamanya.

Kesian Kassim. Semakin hari semakin jauh daripada Bonda.

Oleh itu, Bonda berkata, jika suka sama seseorang, jangan terlalu eksaited. Nanti aku akan terbang ke luar Bumi, sama seperti apa yang terjadi sama Kassim. Baik Bonda, aku akan ingat pesan Bonda.


*Orang dulu-dulu kata, jika kita dilamun cinta, hukum graviti tidak akan memberi kesan kepada tubuh badan kita. Ingat ya semua.

Hati Dalam Botol Kaca


Selamat hari lahir, Sang Empunya Hati.

wfx
17 Nov 2012

Sunday, November 11, 2012

Angus & Julia Stone - Babylon




So rest your head-
You're all mine.
And I stay awake, 
I won't go home.
Let's go on a holiday.
To burn this town
She's my Babylon.

So rest your heart-
You're all mine.
Because if you walk away, 
I fall on down.
And bleed the reddest blood-
Red as wine.
She's my Babylon.

So rest your head-
You're all mine.
And I stay awake, 
I won't go home.
Let's go on a holiday.
To burn this town
She's my Babylon.

So rest your heart-
You're all mine.
Because if you walk away, 
I fall on down.
And bleed the reddest blood-
Red as wine.
She's my Babylon.


You're my Babylon
wfx
Shah Alam

Saturday, November 3, 2012

Let's Dine.


Surreal, is what in my mind. But you are the one who keeps them aligned.





wfx, 2012.
November still rains.

Thursday, November 1, 2012

Graphite #3: Butter-Fly


Siapa sangka perkara begini mampu terjadi? Siapa, hah siapa?

Monday, October 29, 2012

Tujuh Puluh Ribu Hijab Harus Kusingkap.





Aku nampak kau, dan aku harap itu aku berdiri di sisi.





Saturday, October 27, 2012

Pagi/Dia

Betapa aku harap rumah aku berada di tepi pantai,
dimana rutin aku hanya bangun pagi,
capai papan luncur,
dan meluncur sama ombak pagi.
Dan kau menunggu bersama jus oren segar dan roti bakar,
sambil tersenyum disimbah cahaya pagi.

Tinggallah dunia di pintu rumahku,
tidaklah ia mampu masuk ke duniaku.

Betapa aku berharap rumahku di tepi pantai.
wfx
pagi
balakong.

Monday, October 22, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta Ep. II

Ingat lagi ketika kita di atas bumbung, berbicara soal bintang dan bulan? Kemudian kau berlaku curang dan curi hati aku dan kau gantikan dengan bateri triple a yang sekarang ini, hampir kehabisan tenaga hayat.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa aku berperwatakan seperti manusia yang tak punya hati? Kata aku, bukan aku tak punya hati, cuma di ruang yang sepatutnya diletak hati aku itu telah digantikan dengan sepasang bateri yang hampir kehabisan tenaga. Jadi, maafkan aku jika sesiapa terasa dengan sifat ketidak-punyaan hati aku ini.

Atau jika dipandang daripada perspektif berbeza, mungkin juga aku tidak punya hati, kerana hati aku kini adalah sepasang bateri.

Ketika itu aku berada di depan kedai serbaneka 7-11 untuk membeli sepasang bateri baru untuk menggantikan bateri ini. Kemudian seorang gadis berdiri di hadapan pintu, memegang seketul hati yang sudah buruk, berjahit di kiri dan atas, ber-plaster di bahagian kanan. Hati itu kelihatan seperti mahu mati, berdegup hanya beberapa kali dalam seminit.

Katanya, itu hati aku, yang dia jumpa di tepi Lebuhraya Persekutuan, dan dia mahu pulangkannya kepadaku. Aku memandang hati aku itu (jika benar ianya kepunyaanku), dan memandang beberapa helaian kertas berwarna biru tertulis angka satu di tangan. Pada ketika ini aku ditakdirkan untuk membuat keputusan;

 bateri baru ataupun hati yang lama?

Thursday, October 11, 2012

Palat.

Kadang-kadang manusia ni memang macam palat. Buat hidup kau jadi berselirat.

Tapi, kau punya pilihan. Endahkan.

Tak penting pun.

Thursday, September 27, 2012

Kau Itu Bukan Malaikat.

Kadang-kadang, apa yang ada depan mata itu bukannya rezeki kau. Jangan terlalu gopoh sampai terleka, terjerat dalam perangkap dunia. Mungkin itu permata yang diikat tali pada batu yang akan menghempap kewujudan kau.

Untuk kali ini, aku akan berhati-hati.

Friday, September 7, 2012

Teater: Kawan Kawan Yang Kita Suka

Okey, aku baru balik daripada menonton teater terbaru saudara Fasyali Fadzli yang bertajuk seperti di atas. Sudah lama sebenarnya aku tidak menonton teater, tidak berkesempatan atas beberapa faktor. Tapi kali ni aku usahakan juga, sebab ada Anas Ridzuan dan dibuat di stor teater DBP. Apa guna mak bapak kerja DBP tapi kalau buat teater kat sana aku tak pergi, kan?

Jadi ini ada sedikit komentar, ataupun reviu tentang pementasan ini.

Isu yang diketengahkan aku rasa amat selalu terjadi dalam hidup berkawan ni. Kawan tidak percayakan kawan atas sebab yang tertentu, dan dalam teater ini atas sebab duit. Kawan-kawan yang pada mulanya amat rapat tetapi pada perkembangan cerita terjadi perbalahan disebabkan duit seorang daripada mereka hilang, dan disyaki dicuri. Isu menjadi berat apabila mereka saling menuduh antara satu sama lain. Aku lihat perkembangan "tuduh-menuduh" ni amat bijak dimanipulasi oleh Fasyali Fadzli. Bermula dengan menuduh Fara (Fazleena Hishamuddin), kemudian bermula sesi hasut-menghasut antara mereka yang aku rasakan agak halus tetapi menangkap dan akhirnya, semua dituduh termasuk Agus, si pemilik asal duit tersebut. Huda (Ameera Ramlee) yang pada mulanya cuba menjadi orang tengah menyelesaikan perkara ini turut dituduh sebagai pencuri. Kemudian Anuar (Anas Ridzuan) juga dituduh mengambil duit tersebut untuk dibuat modal MLM dan persahabatan mereka menjadi tegang.

Apa yang aku boleh cakapkan, isu yang sebenarnya mudah ini berjaya dimainkan dengan agak baik oleh pengarah. Walaupun dalam pementasan tadi isu sebenar, iaitu tentang kepercayaan antara kawan-kawan telah diberitahu dengan jelas oleh pemain teater, aku rasakan adalah lebih baik jika isu itu tidak diberitahu, dan biarkan penonton sendiri yang memikirkan tentang perkara tersebut (dan aku pasti penonton juga pasti dapat menangkap isu sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarah.) Tapi itu hanya pendapat aku.

Dan jika penonton fokus daripada awal hingga akhir, (dan sekali lagi aku pasti, mereka sememangnya fokus) klu-klu tentang siapa sebenarnya "pencuri" itu telah diberi oleh pengarah. Aku cuma dapat menangkap perkara ini pada pengakhiran cerita. Lembabnya proses pemikiran aku.

Apa yang aku boleh katakan, teater ini berbaloi untuk ditonton bersama rakan-rakan. Ironinya, aku menonton berseorangan, tanpa kawan-kawan yang aku suka. Mungkin lain kali.

p/s: Ameera Ramlee lawa beb. Ha ha.

Wednesday, September 5, 2012

Andika dan Topi Putih: Foreword

Bangun! Bangun! Bangun wahai manusia, bangun!

Sayup-sayup kedengaran bunyi suara itu masuk ke cuping telinga Andika, melantun lalu ke saluran telinga luar dan dikumpul lalu diterima oleh gegendang yang kemudiannya bergetar dan mengarahkan signal-signal berupa gelombang bunyi itu ke cochlea, lalu diserap oleh sel-sel rerambut dan terus ditafsir oleh otak Andika sebagai satu suara yang menyuruhnya bangun, atau bangkit. Itu Andika kurang pasti.

Andika cuba membuka alis mata. Berat. Silau, lalu Andika menghadang cahaya yang dirasakannya adalah cahaya matahari dengan telapak tangannya. Aneh, tidak terasa kehangatan matahari (jika benar itu cahaya matahari seperti andaian Andika), sebaliknya rasa sesuatu yang amat sejuk, seperti berada di dalam sebuah bilik yang dipasang pendingin hawa pada suhu terendah, dan kipas pada kelajuan tertinggi. Aneh. Andika gagahkan diri untuk bangun. Berat, amat berat sekali untuk Andika mengangkat kepalanya, bagai ada beruang yang tersilap anggap bahawa kepala Andika itu adalah kerusi malas di hadapan peti televisyen, lalu dengan suka hati duduk di atasnya dan tidak mahu bangun-bangun kerna seronok menonton rancangan memasak kelolaan Chef Ramsey.

Pap! Pap! Pap!

Kebas pipi Andika setelah ditampar berkali-kali oleh satu tapak tangan yang boleh tahan lembut. "Bangun manusia, bangun. Kamu tidak sepatutnya di sini. Kamu perlu pergi dari sini!" Lembut suara itu, tapi kedengaran nada keras memerintah supaya Andika bangun. Andika buka mata. Berdiri di depannya, satu makhluk berkepala serigala, dan memakai gaun perkahwinan berwarna biru dengan riben besar di pinggul belakang. Rambut ikalnya melambai-lambai ditiup angin. Persis seorang puteri. Puteri serigala mungkin, pikir Andika. Mata birunya bulat memandang tepat ke arah Andika. "Mari manusia, kamu harus pergi dari sini!" katanya lagi.

Kelu, Andika kelu untuk berbahasa. Nampaknya otak berkapasiti 64GB Andika belum lagi mampu memproses apa yang di depan matanya itu. "Benar manusia, kamu harus pergi dari sini. Kamu telah tersesat jauh dari dunia asal kamu." Andika menoleh ke tepi, hanya untuk melihat sebuah pokok matahari yang memakai sut angkasawan dan seorang lelaki bangsawan tinggi lampai dan kurus yang bersut kemas dan bertopi bulat sambil memegang sebatang sigar dan sedang berdiri di atas beg pakaian besar dan berbentuk segi empat tidak sama sisi. Manusia tinggi lampai itu menghembus asap sigarnya itu dan membentuk perkataan, lalu sempurna menjadi ayat yang berbunyi: Kita harus lekas, kita tidak punya banyak masa.

Ternyata, Andika tidak mampu memproses apa yang dilihatnya. Andika memandang sekeliling, menganalisis persekitaran yang aneh itu. Batu-batu beralun ditiup angin. Rama-rama yang diperbuat daripada kertas berterbangan dan kemudian direntap oleh satu kepingan kayu yang berbetuk seperti helang. Di satu sudut kelihatan titisan-titisan air yang keluar daripada sisi mata matahari yang kelihatan sedih merindukan bulan yang berada di sudut lain bumi. Pokok-pokok kelihatan bergerak ke arah mereka (Andika dan makhluk-makhluk itu). "Cepat, kita sudah tidak punya masa!" Arah si pokok matahari yang memakai sut angkasawan itu. Lalu lelaki budiman itu terus tunduk dan masuk ke dalam beg pakaiannya dan si pokok matahari bersut angkasawan itu menutup dan mengangkatnya pergi sambil menghulurkan tangan untuk disambut oleh sang puteri berkepala serigala.

Ini semua mengarut, mengarut! Gertak Andika. POP! Tiba-tiba satu percikan api keluar daripada mata Andika dan terbit asap daripada telinganya. Serentak dengan itu Andika rebah tidak sedarkan diri.

bersambung...

Monday, September 3, 2012

Graphite : #2

Susah juga melukis takde pensel ni.

Thursday, August 16, 2012

Mencari Ertinya Syawal (Kah Kah Kah Poyo Gila Tajuk)

Pernah dulu mak aku kata, kalau tak puasa penuh, tak boleh raya, sebab raya ni tujuan dia nak meraikan kemenangan umat manusia memerangi hawa nafsu sepanjang 30 hari di bulan Romadhon. Tapi masa tu umur aku masih takat budak hingusan, bersunat pun belum. Jadi jangan harap aku nak faham apa mak aku cakap. Bila masa pulak manusia pergi berperang? Aku seronok je duduk rumah tengok Power Rangers. Dalam kepala memang terfikir raya dan duit raya semata. Oh, termasuk baju raya.

Tapi bila dah dewasa ni, bulu pubis pun dah lebat, aku dah tak rasa vibe raya tu macam apa aku rasa dulu-dulu. Lagi penuh aku puasa, lagi tak teruja aku nak beraya. Mungkin sebab aku dah tak akan dapat duit raya, barangkali?

Baju untuk tahun ni pun aku tak beli. Nak keluar ber-shopping amatlah jauh sekali. Jadinya, aku harap jeans koyak aku ni takkan memalukan muka mak bapak aku bila ada orang datang beraya nanti.

Apa pun, selama hari raya aku ucapkan. Mainlah mercun dengan berhati-hati. Tapi kalau tak berhati-hati pun aku peduli apa. Yang hancur nanti tangan kau-orang bukan tangan aku. Assalamualaikum.

wafeex
2250
Cheras Selatan.

Wednesday, August 15, 2012

Kata: #5

"Cinta itu jadi buta, bila manusia menangkan rasa lebih dari syurga."
-Mohd Muzamel Zainal, Aug 2012.

Wednesday, August 1, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta.

Kau bercakap tentang bulan dan bintang, yang jauh dari takat capai, yang tak mungkin mampu untuk aku sampai. Kau kata kau idamkan bintang untuk dijadikan perhiasan, samada ditempa menjadi rantai, atau disemat rapi di dinding kamar. Kau kata kau mahu jadikan bulan itu milik kau, dijadikan lampu disko di bilik satu pintu satu tingkap di loteng rumah agam ibu bapa kau itu.

Sukar untuk mana-mana lelaki tampan dan gagah dan perkasa untuk tunaikan hasrat melangit kau itu, Dewi. Tapi aku bukan sebarang lelaki tampan, aku bukan sebarang lelaki gagah. Ku-usahakan untuk membina satu tangga, yang tingginya membuatkan aku mampu untuk tunaikan apa yang kau hajatkan. 3 hari 3 malam kudaki tangga mega itu untuk kuambil bulan dan bintang permintaan kau. Tapi, apakan daya, pada anak tangga ke enam ribu enam puluh enam, aku tersingkuh, hilang daya imbangan, lalu terjatuh ke permukaan realiti menjadi stew daging yang bersepah di tengah jalan Lebuhraya Persekutuan.

Berita itu menggemparkan seluruh dunia. Katanya; Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta. Ramai manusia dari seluruh pelosok dunia hadir memberi hormat terakhir. Bunga-bunga disusun rapi di tepi hancuran daging-daging yang merata di tengah lebuh raya itu.

Tapi kau, Dewi, tapi kau tidak hadir. Dari ura-ura yang aku dengar dari mulut-mulut kaki gosip yang ada di lebuhraya itu, kau sedang duduk di atas bumbung, bersama seorang lelaki lain, bercerita tentang bulan dan bintang yang kau selalu inginkan.

Kau kejam Dewi, kau kejam.

Monday, July 30, 2012

Sempurna

Sempurna itu tidak ada,
Yang sempurna cuma Dia.
Tapi apa hak kita,
untuk menidakkan apa
yang orang pandang sempurna?

Monday, July 2, 2012

Monokrom: Korea

jejak pertama

sehingga tiba destinasi

adalah mustahil tanpa rakan

dan cinta

penat

gembira

rohani

kepuasan

adalah perlu

untuk kita bertahan

dalam kesesakan orang ramai

jangan berhenti

jangan putus asa


walau apa pun yang melanda.

Tuesday, June 26, 2012

Sang Enemy


Hujan, satu band yang tak boleh disangkal kepaduan mereka muncul dengan album baru, Sang Enemy. Pada mulanya aku sedikit terkejut bila terdengar ura-ura yang mengatakan album ini akan berkonsepkan metal/post-hardcore sebagai genre. Apa reaksi peminat-peminat nanti? Terutama peminat perempuan. Dapatkah mereka menerima ideologi sebegini?

Dan bagaimana reaksi aku nanti?

Dua hari lepas aku ke Rock Corner Mid Valley mencari album ini. Reaksi pertama aku adalah aku sangat kagum dengan rekaan kulit album ini. Tahniah kepada pereka. Sampai di rumah/studio/panggil apa saja kau mahu, aku segera mencapai laptop dan memulakan sesi menilai musik mereka.

Kagum!

Itu reaksi pertama dan major aku. aku bukan mahir sangat dalam musik untuk aku perjelaskan satu-persatu ciri-ciri musik mereka. Apa yang aku boleh katakan, aku amat kagum dengan hala tuju baru mereka. Dan aku rasakan album ini akan tunjukkan siapa peminat setia mereka, dan siapa yang minat hujan sebab Noh, AG atau pun Izzat. Mari kita lihat nanti.

Antara track kegemaran aku adalah Janji Kita dan Mana Mungkin. Mesej-mesej yang cuba disampaikan jika diteliti amat mendalam. Mungkin vokal growl dalam track ini akan dipandang negatif oleh peminat perempuan, tapi pedulikan mereka. 

Ke Selatan, track ke-7 kedengaran lebih padu berbanding final Versus itu hari. Padu. Itu pada pandangan aku lah.

Oh ya, ada juga kekecewaan yanng aku rasa dalam album ni. Kenapa ada 8 lagu sahaja? Aku tak dapat berhenti putarkan album ni sebab tak puas. Kalau ada 10 track mungkin akan lebih padu. Mungkin.

Apa pun, secara keseluruhan aku amat puas hati dengan album terbaru mereka. 8/10 aku bagi. Tahniah Hujan.

wafeex
petang
Shah Alam.

Thursday, June 14, 2012

Jurnal Ke Tempat Asing : Hari Kedua

Hari ni aku berjalan pakai kaca mata hitam. Sedap sikit nak usha gadis-gadis Korea. Dan aku cuma boleh bersyukur, sebab mereka sangat cantik. Silap-silap aku bawak balik satu.

Barang di sini agak mahal kalau nak dibandingkan dengan Malaysia. Tapi perbandingan tak boleh dibuat hanya berdasarkan nilai tukaran wang. Walaupun mahal, mereka masih mampu sebab GDP mereka tinggi. Buat apa jual murah kalau boleh jual mahal, bukan?

Seni bina disini aku boleh katakan amat cantik. Mereka hargai seni. Hampir setiap lorong ada galeri seni. Dan galeri seni bukan hanya pada nama. Reka bentuk premis juga amat berseni.

Dah, aku malas nak sambung. Tidur lagi sedap waktu-waktu macam ni.
wafeex
2.05 pagi waktu tempatan
Seoul, Korea.

Wednesday, June 13, 2012

Jurnal Ke Tempat Asing : Hari Pertama.

Enam jam perjalanan, tujuh puluh peratus aku hanya tidur. Lagi tiga puluh peratus terganggu oleh gadis-gadis pramugari yang sememangnya membuat aku kelu. Padanlah mereka jadi pramugari.

Cuaca amat dingin, macam duduk di bawah pendingin hawa, dengan suhu paling rendah sambil berbogel, walaupun sekarang adalah musim panas. Harap cuaca siang esok akan lebih senang berkawan(friendly).

Walaupun cuti, tapi aku terpaksa siapkan kerja. Aku harap aku sempat siapkan sebelum khamis.

Esok para sepupu mahu ke ke Kona Beans. Betul ke tidak aku eja pun aku tak tahu. Tapi ura-ura berbunyi di situ adalah tempat mereka hidangkan kopi. Manis sungguh bunyinya.

Oh ya, aku belum lagi menjadi kpoppers. Alhamdulillah.
wafeex
4.49 pagi waktu tempatan
Seoul, Korea.

Tuesday, May 29, 2012

Kata : #4

"Usaha mau padu doa kena lebih."
-Rafik Rahim, 2012.

Monday, May 28, 2012

Aku Suka Dia

Err, harini mau gedik sikit boleh..?
Sila nikmati.











Err, ok selamat tinggal.

Saturday, May 26, 2012

Kata: #3

"Kita basuh politik itu dengan seni."
-Rock The Youth 2012

Thursday, May 24, 2012

Kata : #2

"Boys dont have feelings, they have muscles." 
-Homer Simpson.

Kata : #1

"Cinta itu satu benda yang berbelit-belit. "
wafeex
12:37 am
Shah Alam.

Tuesday, May 22, 2012

Graphite : #1

lama betul tak pegang pensel. ironi, aku pelajar arkitektur.

Di Atas Garisan Nipis

Kamelia merenung matahari secara terus, tanpa lapisan-lapisan pelindung seperti kaca mata hitam atau apa-apa. Matanya terbakar. Memang dia sengajakan matahari membakar kornea matanya kerana ada seorang tua mengatakan, mata adalah pintu ke jiwa. Kamelia tidak mahu merasakan apa-apa dalam jiwanya lagi. Kamelia pasrah.

Iskandar duduk bersila atas bumbung tangki air Shah Alam, menunggu fajar subuh menyingsing menzahirkan cahaya-cahaya kegembiraan dan kebahagian buat yang percaya. Iskandar tidak lagi percaya. Iskandar sudah jemu dengan realiti hidup yang sama sekali menindas kebebasannya untuk berfikir, bersuara, dan beraktiviti. Iskandar berdiri, mendepangkan tangan menerima simbahan matahari pagi. Dengan sekelip mata, Iskandar terjun.

Aku masih lagi di sini, di kubikel kecil tempat aku duduk seharian, memikir masalah dunia pertama, walaupun aku hidup di negara dunia ketiga. Kadang-kadang tersenyum sendiri membaca artikel-artikel tentang punggung, korupsi, duduk, dan cacian oleh seorang wakil rakyat.

Aku tak sangka aku masih mampu tersenyum.

wafeex
Shah Alam
masih menunggu.


Smoke Green.

Aku merenung tingkap dengan penuh tumpuan. Seakan-akan ada cahaya yang menghentam kaca tingkap meronta-ronta mahu masuk. Aku perlahan-lahan bangun, berdiri dan memulakan langkah ke arah tingkap. Belum sempat aku sempurnakan langkah ketiga, ada suara seakan-akan menyeru dari belakang menanyakan soalan.

"bro, sekarang pukul berapa?"
"6.70 pagi."
wafeex
Shah Alam
stoned.

Tuesday, April 10, 2012

Payung Syurga.

Pernah satu ketika ibu aku bersuara,

"Mak dah tempah bilik kat rumah orang tua. Jadi, bila mak dah tua nanti, Apeet tak payah susah-susah nak jaga mak. Kerja rajin-rajin, baru hidup senang."

Secara automatik dua biji mata bercermin sebagai penambah power aku berkaca. Anak mana yang sanggup dengar ibu kata begitu? Aku sedar, aku bukan anak terbaik idaman mak-mak. Tapi untuk mengabaikan ibu aku bila dah dimakan usia nanti, langsung tak terdetik kat hati gelap aku ni.

Aku sebak. Aku balas, aku kata bila sudah punya kerja, punya pendapatan, kecil atau besar, aku akan tunaikan tanggungjawab aku sebagai anak. Aku akan balas balik jasa mak, yang menjadi medium aku dihantarkan ke dunia.
Walaupun aku tahu aku tak mampu.

Tanpa ibu, tak mungkin kita akan melihat walau sekilas pun cahaya dunia.
Tanpa ibu, tak mungkin kita dapat menghidu walau satu aroma pun di atas bumi.
Tanpa ibu, tak mungkin kita dapat mendengar walau satu pun kicau burung di langit.

Tanpa ibu, kita tak akan ada, kecuali dengan kehendak-Nya.

Aku bersyukur sebab masih punya ibu.
Aku bersyukur, kerna masih mampu mengadu.

Tapi aku sedar, dia bukan milik aku selamanya. Bila sampai ketentuan, dia akan pergi. Aku akan tinggal sendiri. Itu aku sedar.

Tapi jika diberi pilihan antara aku dan dia, aku mahu ibu pergi dulu.
Kerna aku tak sanggup lihat ibu hidup sendiri di dunia fana tanpa aku.
Biar aku tanggung seksa itu.
Biar aku tanggung seksa itu.
Biar aku tanggung seksa itu.

Cuma satu aku minta.
Tuhan, tolong tempatkan ibu bapaku di tempat sebaik-baik ciptaan-Mu.
Aku sedar, aku anak derhaka.
Tapi aku masih mahu yang paling sempurna untuk mereka.

Tuhan, tolong ampunkan dosa mereka.
wafeex, 
11:32 pm.
Shah Alam.

Tuesday, April 3, 2012

Tembakau & Butana

Tidakkah kau sedar
apa makna tembakau,
tanpa butana.

Tidakkah kau sedar
tanpa butana,
tembakau tiada makna.

Rokok dan butana
dua entiti bersatu,
kimia beraksi,
kepuasan tercari-cari.

shit apa aku tulis ni.

Sunday, April 1, 2012

Mautopia oleh Ridhwan Saidi.

Aku akan cuba sedaya upaya untuk tidak bias dalam review ini.

Mautopia pada aku ada beberapa lapisan. Lapisan atasan mungkin nampak shallow jika dibaca secara lalu. Tetapi kita bukan baca kisah cinta untuk faham secara shallow sahaja. Pemahaman diperlukan untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Jujur aku kata, novel ini menampakkan peningkatan dari segi penulisan dan idea itu sendiri. Dan jika mautopia adalah novel ridhwan saidi pertama anda, aku nasihatkan baca cekik dan amerika dulu untuk memahami gaya penulisan penulis.

Lapisan kedua adalah isi tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis melalui Guru Besar dan Permaisuri. Ini menunjukkan pegangan anda dalam dunia sebenar. Apa yang anda percaya, pertahankan. Secara peribadi, aku lihat ramai dalam kalangan kita yang percaya secara membabi buta apa yang diperturunkan oleh adat, sehingga tidak nampak apa signifikan sesuatu adat itu dalam kehidupan seharian, sehinggakan adat itu diagung-agungkan sampai terjadi ungkapan 'ohgurubesarku'.

Satu lagi yang cuba disampaikan oleh penulis adalah tentang kepercayaan dan keyakinan diri seseorang. Ambil contoh Ismail. Niat dia telah diselewengkan oleh anasir luar(sut manusoid) sehingga perjuangan dia terpesong menjadi sesuatu yang lain. Dan tambah menyedihkan bila dia mempergunakan orang lain untuk mencapai niat jijik itu(mungkin itu sememangnya keperluan seksualiti kau sebagai manusia biasa). Dan bagaimana Farisi akhirnya terpaksa mengakui kekuasaan Guru Besar dan menjadi boneka mainan Guru Disiplin dan Ustaz yang selalu melihat refleksi diri dalam cermin.

Dan kerengga itu pada aku adalah bagaimana dengan senangnya orang luar mampu mempengaruhi kehidupan kita dengan memberi sesuatu untuk kita pegang dan percaya, hanya kerana kita secara lumrahnya, perlukan sesuatu untuk dipegang agar terasa selamat. Tanah amerika sebagai contoh, adalah satu pendorong yang diperlukan untuk penduduk Bukit Famosa percaya dan tunduk kepada Guru Besar.

Kerengga dalam sut manusoid pula adalah bagaimana kita sebagai manusia sangat percaya pada adat sehingga tidak menyedari bahawa kita sebenarnya telah dikawal secara sesuka hati dari dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Betapa lalainya kita.

Pada aku isi keseluruhan novel ini adalah untuk mempersoalkan betapa kuatnya pegangan kita terhadap sesuatu perkara itu, dan sampai mana kita sanggup percaya pada sesuatu yang tidak nampak di depan mata.

Sekurang-kurangnya itu apa yang aku rasa. Maaf kalau ia tidak selari dengan tujuan penulis.

Tapi aku rasa bila kita baca sesebuah tulisan itu, kita berhak berimaginasi mengikut kreativiti kita sendiri.

Saturday, March 31, 2012

Mengalah.

Kadang-kadang mengalah itu lebih baik daripada terus berusaha. Tak semestinya kau perlu apa yang kau mahu. Mungkin ini petunjuk dari Tuhan bahawa kau masih lagi mempunyai hati, dan rasa. Mungkin. Siapa tahu.

wafeex, 3:53 pagi.

Wednesday, March 21, 2012

Saturday, March 10, 2012

Kopi

Tom membuka mata apabila bunyi alarm jam meja berdering dengan bunyian nyaring memekakkan telinga sesiapa sahaja yang mendengar. Tom bangkit, dan duduk termenung di atas katil. Dia mengeluh. Tom bangkit berdiri, mencapai tuala yang disangkut di hujung katil dan mengarah langkah menuju bilik mandi.

Hidup bukanlah antara perkara yang digemari oleh Tom. Setakat ini hidup telah melayan Tom dengan teruk sekali. Gaji sedikit, kerja banyak. Dimarah bos, dimarah klien itu sudah menjadi rutin harian Tom. Tapi mahu atau tidak, Tom harus meneruskan hidup, kerna dia percaya ada sebab kenapa dia diberi peluang untuk terus berjalan di atas muka bumi ini.

Usai mandi, Tom bersiap mengenakan kemeja putih, seluar slack hitam, kasut hitam peninggalan arwah bapanya, dan turun keluar dari apartmentnya di 17th Street. Sudah menjadi rutin harian, Tom singgah di sebuah kafe berdekatan untuk menikmati kesegaran kopi arabian segar. Kopi adalah satu-satunya perkara yang membuatkan Tom bersemangat meneruskan hidupnya yang serba kekalutan itu. Tanpa kopi, mungkin Tom sudah menggantung dirinya, atau terjuan dari tingkat teratas Empire State Building.

Ahhhh, malas pulak gua nak sambung. Sudah, gua mahu tidur. Selamat malam.

Wednesday, February 22, 2012

Okey, Apa-Apa Lah.

Cinta hanya buat persahabatan terputus, hancur.
Cinta buat lingkungan rakan kau menjadi sikit.
Cinta buat kau rasa kebahagiaan palsu.
Cinta buat kau menjadi dungu.
Cinta buat kau haru-biru.

Itu kalau cinta kau palsu.

Friday, February 17, 2012

Korupsi.

Sesusuk tubuh lelaki termenung berdiri di hadapan countertop dapur sebuah apartment. Lelaki itu hanya termenung memandang jauh ke dalam sebuah mesin pengisar yang terbuka penutupnya. Dia merasakan kehidupannya di dunia ini bagaikan satu konspirasi gelap yang cuba menipu dan mengawal rakyat menggunakan tali-tali halus yang berpusat pada satu titik di atas langit, yang kemudian terpesong ke bawah dan menerobos masuk ke bumi. Dalam konteks ini, dia merasakan bahawa dia adalah seperti boneka yang hanya ada otak fikiran, tanpa sebarang anggota untuk tindakan.

Pemegang tali-tali itu akan menarik satu-satu manusia dengan suka-suka. Manusia rela tanpa daya. Seorang tarik satu, seorang tarik dua. Apabila cukup, manusia-manusia itu dimasukkan ke dalam pengisar, dikisar sehingga lumat menjadi jus merah hanyir, yang kemudiannya dihidang sebagai santapan pemuas dahaga.

Dunia, sememangnya sudah korup.

Monday, February 6, 2012

Filem Hidup

Hidup ni bukan macam filem tipikal di pawagam. Hidup ni adalah seperti sebuah filem eksquisit, sebuah filem yang menyenggama pemikiran anda. Hidup seharusnya begitu. Sebuah filem senggama minda mungkin tidak akan difahami oleh majoriti penonton atau penggemar filem. Sebagai contoh, A Tree of Life oleh pengarah Terrence Malick. Itu bagi saya adalah sebuah filem mindfuck yang amat bijak dari segi penyusunan plot dan kerja kamera. Anda perlu duduk diam, dan tonton sampai habis, dan mungkin ulang tonton sehingga anda faham apa isu sebenar yang cuba diketengahkan oleh Terrence. Dan itu seharusnya terjadi kepada hidup kita. kita perlu menyusun apa yang ada di hadapan, merancang bagaimana mahu berjalan dan ulang kaji semula masa lampau, agar apa yang dirancangkan untuk masa hadapan adalah yang paling optimum dalam hidup anda. Dan berbeza dengan filem di layar perak, kita tidak tahu bila cerita kita akan tamat, dan kesudahan bagaimana yang kita akan hadapi. Pada saya, hidup ini seakan-akan filem, tetapi tidak seperti filem. Perancangan dan penambahbaikan perlu ada sepanjang plot yang cuba anda tampilkan dalam hidup anda. Hidup ini singkat, maka fokuslah pada apa yang terbaik.

Pada pukul 6.30 pagi tadi, saya menerima panggilan bahawa rakan saya kemalangan kereta. Alhamdulillah semua selamat. Tetapi efek daripada kemalangan itu seakan sampai kepada saya. Saya tersedar bahawa hidup ini adalah singkat. Maka hiduplah sebaik mungkin, untuk di dunia, mahupun selepas dunia.

Saturday, January 14, 2012

Ini, Ini, Ini Mindfuck!

Ini semamangnya mindfuck. Video ini dibuat oleh super senior aku, Ridhwan Saidi tentang filem-filem pendek beliau daripada tahun 2008 hingga 2011.