Wednesday, August 1, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta.

Kau bercakap tentang bulan dan bintang, yang jauh dari takat capai, yang tak mungkin mampu untuk aku sampai. Kau kata kau idamkan bintang untuk dijadikan perhiasan, samada ditempa menjadi rantai, atau disemat rapi di dinding kamar. Kau kata kau mahu jadikan bulan itu milik kau, dijadikan lampu disko di bilik satu pintu satu tingkap di loteng rumah agam ibu bapa kau itu.

Sukar untuk mana-mana lelaki tampan dan gagah dan perkasa untuk tunaikan hasrat melangit kau itu, Dewi. Tapi aku bukan sebarang lelaki tampan, aku bukan sebarang lelaki gagah. Ku-usahakan untuk membina satu tangga, yang tingginya membuatkan aku mampu untuk tunaikan apa yang kau hajatkan. 3 hari 3 malam kudaki tangga mega itu untuk kuambil bulan dan bintang permintaan kau. Tapi, apakan daya, pada anak tangga ke enam ribu enam puluh enam, aku tersingkuh, hilang daya imbangan, lalu terjatuh ke permukaan realiti menjadi stew daging yang bersepah di tengah jalan Lebuhraya Persekutuan.

Berita itu menggemparkan seluruh dunia. Katanya; Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta. Ramai manusia dari seluruh pelosok dunia hadir memberi hormat terakhir. Bunga-bunga disusun rapi di tepi hancuran daging-daging yang merata di tengah lebuh raya itu.

Tapi kau, Dewi, tapi kau tidak hadir. Dari ura-ura yang aku dengar dari mulut-mulut kaki gosip yang ada di lebuhraya itu, kau sedang duduk di atas bumbung, bersama seorang lelaki lain, bercerita tentang bulan dan bintang yang kau selalu inginkan.

Kau kejam Dewi, kau kejam.

2 comments: