Sunday, November 18, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta Ep. III

Aku seorang di atas bumbung rumah bernombor 7, memerhati langit malam yang tiada bintang, dan bulan segan mahu memancarkan cahaya pantulan daripada matahari itu, langsung sembunyi di balik awan hitam yang sesekali mendengus dan memancarkan cahaya petir, menandakan hujan akan tiba.

Di tanganku kini ada sebuah hati, yang siap diletak dalam botol kaca oleh gadis yang aku jumpa di outlet 7-11 siang tadi. Dan di tangan kiri aku pula kugenggam sepasang bateri triple A yang juga aku beli di lokasi yang sama. Malam ini harus jadi malam penentu, sama ada hati dalam botol kaca, ataupun sepersalinan sel bateri baru.

Tiba-tiba ada suara memanggil aku daripada bawah. Aku menjenguk, dan mendapati gadis yang aku jumpa di 7-11 itu berada di bawah, sambil tersenyum. Senyuman yang manja, dan membuat hati aku yang berada di dalam botol kaca itu berdegup kencang. Serta-merta, aku turut tersenyum.

Aku turun, dan berdiri di hadapan dia, seorang yang setiap tingkah lakunya, membuatkan aku tertarik, walaupun hanya dengan lirikan mata yang bersahaja. Ya, satu perasaan yang sudah lama tidak aku rasa, dan mungkin juga perasaan ini melampaui dan membunuh perasaan-perasaan yang pernah aku rasa sebelum ini. Tidak pernah aku tertarik sebegini rupa pada seorang manusia.

Nah, sila simpan hati saya ini dengan baik-baik. Terima kasih kerana sanggup mengutip hati yang telah rabak ini di tepi jalanan. Mungkin pada ketika itu Lebuhraya Persekutuan amat sesak, namun awak masih mampu menjumpai hati saya ini. Terima kasih. Itu sahaja yang mampu saya ucapkan.

Kau tersenyum, dan mengambil botol kaca itu, lalu menyimpannya di dalam beg galas yang sering kau bawa.
Dan aku takkan lupakan senyuman itu, sampai bila-bila.

Secara tiba-tiba, bintang-bintang berkelip, dan bulan memancarkan cahayanya, sambil tersenyum.

Rahmat.

No comments:

Post a Comment