Friday, September 7, 2012

Teater: Kawan Kawan Yang Kita Suka

Okey, aku baru balik daripada menonton teater terbaru saudara Fasyali Fadzli yang bertajuk seperti di atas. Sudah lama sebenarnya aku tidak menonton teater, tidak berkesempatan atas beberapa faktor. Tapi kali ni aku usahakan juga, sebab ada Anas Ridzuan dan dibuat di stor teater DBP. Apa guna mak bapak kerja DBP tapi kalau buat teater kat sana aku tak pergi, kan?

Jadi ini ada sedikit komentar, ataupun reviu tentang pementasan ini.

Isu yang diketengahkan aku rasa amat selalu terjadi dalam hidup berkawan ni. Kawan tidak percayakan kawan atas sebab yang tertentu, dan dalam teater ini atas sebab duit. Kawan-kawan yang pada mulanya amat rapat tetapi pada perkembangan cerita terjadi perbalahan disebabkan duit seorang daripada mereka hilang, dan disyaki dicuri. Isu menjadi berat apabila mereka saling menuduh antara satu sama lain. Aku lihat perkembangan "tuduh-menuduh" ni amat bijak dimanipulasi oleh Fasyali Fadzli. Bermula dengan menuduh Fara (Fazleena Hishamuddin), kemudian bermula sesi hasut-menghasut antara mereka yang aku rasakan agak halus tetapi menangkap dan akhirnya, semua dituduh termasuk Agus, si pemilik asal duit tersebut. Huda (Ameera Ramlee) yang pada mulanya cuba menjadi orang tengah menyelesaikan perkara ini turut dituduh sebagai pencuri. Kemudian Anuar (Anas Ridzuan) juga dituduh mengambil duit tersebut untuk dibuat modal MLM dan persahabatan mereka menjadi tegang.

Apa yang aku boleh cakapkan, isu yang sebenarnya mudah ini berjaya dimainkan dengan agak baik oleh pengarah. Walaupun dalam pementasan tadi isu sebenar, iaitu tentang kepercayaan antara kawan-kawan telah diberitahu dengan jelas oleh pemain teater, aku rasakan adalah lebih baik jika isu itu tidak diberitahu, dan biarkan penonton sendiri yang memikirkan tentang perkara tersebut (dan aku pasti penonton juga pasti dapat menangkap isu sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarah.) Tapi itu hanya pendapat aku.

Dan jika penonton fokus daripada awal hingga akhir, (dan sekali lagi aku pasti, mereka sememangnya fokus) klu-klu tentang siapa sebenarnya "pencuri" itu telah diberi oleh pengarah. Aku cuma dapat menangkap perkara ini pada pengakhiran cerita. Lembabnya proses pemikiran aku.

Apa yang aku boleh katakan, teater ini berbaloi untuk ditonton bersama rakan-rakan. Ironinya, aku menonton berseorangan, tanpa kawan-kawan yang aku suka. Mungkin lain kali.

p/s: Ameera Ramlee lawa beb. Ha ha.

No comments:

Post a Comment