Sayup-sayup kedengaran bunyi suara itu masuk ke cuping telinga Andika, melantun lalu ke saluran telinga luar dan dikumpul lalu diterima oleh gegendang yang kemudiannya bergetar dan mengarahkan signal-signal berupa gelombang bunyi itu ke cochlea, lalu diserap oleh sel-sel rerambut dan terus ditafsir oleh otak Andika sebagai satu suara yang menyuruhnya bangun, atau bangkit. Itu Andika kurang pasti.
Andika cuba membuka alis mata. Berat. Silau, lalu Andika menghadang cahaya yang dirasakannya adalah cahaya matahari dengan telapak tangannya. Aneh, tidak terasa kehangatan matahari (jika benar itu cahaya matahari seperti andaian Andika), sebaliknya rasa sesuatu yang amat sejuk, seperti berada di dalam sebuah bilik yang dipasang pendingin hawa pada suhu terendah, dan kipas pada kelajuan tertinggi. Aneh. Andika gagahkan diri untuk bangun. Berat, amat berat sekali untuk Andika mengangkat kepalanya, bagai ada beruang yang tersilap anggap bahawa kepala Andika itu adalah kerusi malas di hadapan peti televisyen, lalu dengan suka hati duduk di atasnya dan tidak mahu bangun-bangun kerna seronok menonton rancangan memasak kelolaan Chef Ramsey.
Pap! Pap! Pap!
Kebas pipi Andika setelah ditampar berkali-kali oleh satu tapak tangan yang boleh tahan lembut. "Bangun manusia, bangun. Kamu tidak sepatutnya di sini. Kamu perlu pergi dari sini!" Lembut suara itu, tapi kedengaran nada keras memerintah supaya Andika bangun. Andika buka mata. Berdiri di depannya, satu makhluk berkepala serigala, dan memakai gaun perkahwinan berwarna biru dengan riben besar di pinggul belakang. Rambut ikalnya melambai-lambai ditiup angin. Persis seorang puteri. Puteri serigala mungkin, pikir Andika. Mata birunya bulat memandang tepat ke arah Andika. "Mari manusia, kamu harus pergi dari sini!" katanya lagi.
Kelu, Andika kelu untuk berbahasa. Nampaknya otak berkapasiti 64GB Andika belum lagi mampu memproses apa yang di depan matanya itu. "Benar manusia, kamu harus pergi dari sini. Kamu telah tersesat jauh dari dunia asal kamu." Andika menoleh ke tepi, hanya untuk melihat sebuah pokok matahari yang memakai sut angkasawan dan seorang lelaki bangsawan tinggi lampai dan kurus yang bersut kemas dan bertopi bulat sambil memegang sebatang sigar dan sedang berdiri di atas beg pakaian besar dan berbentuk segi empat tidak sama sisi. Manusia tinggi lampai itu menghembus asap sigarnya itu dan membentuk perkataan, lalu sempurna menjadi ayat yang berbunyi: Kita harus lekas, kita tidak punya banyak masa.
Ternyata, Andika tidak mampu memproses apa yang dilihatnya. Andika memandang sekeliling, menganalisis persekitaran yang aneh itu. Batu-batu beralun ditiup angin. Rama-rama yang diperbuat daripada kertas berterbangan dan kemudian direntap oleh satu kepingan kayu yang berbetuk seperti helang. Di satu sudut kelihatan titisan-titisan air yang keluar daripada sisi mata matahari yang kelihatan sedih merindukan bulan yang berada di sudut lain bumi. Pokok-pokok kelihatan bergerak ke arah mereka (Andika dan makhluk-makhluk itu). "Cepat, kita sudah tidak punya masa!" Arah si pokok matahari yang memakai sut angkasawan itu. Lalu lelaki budiman itu terus tunduk dan masuk ke dalam beg pakaiannya dan si pokok matahari bersut angkasawan itu menutup dan mengangkatnya pergi sambil menghulurkan tangan untuk disambut oleh sang puteri berkepala serigala.
Ini semua mengarut, mengarut! Gertak Andika. POP! Tiba-tiba satu percikan api keluar daripada mata Andika dan terbit asap daripada telinganya. Serentak dengan itu Andika rebah tidak sedarkan diri.
bersambung...
No comments:
Post a Comment