Monday, October 22, 2012

Lelaki Optimis Terjatuh Dari Tangga Ketika Mencari Cinta Ep. II

Ingat lagi ketika kita di atas bumbung, berbicara soal bintang dan bulan? Kemudian kau berlaku curang dan curi hati aku dan kau gantikan dengan bateri triple a yang sekarang ini, hampir kehabisan tenaga hayat.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa aku berperwatakan seperti manusia yang tak punya hati? Kata aku, bukan aku tak punya hati, cuma di ruang yang sepatutnya diletak hati aku itu telah digantikan dengan sepasang bateri yang hampir kehabisan tenaga. Jadi, maafkan aku jika sesiapa terasa dengan sifat ketidak-punyaan hati aku ini.

Atau jika dipandang daripada perspektif berbeza, mungkin juga aku tidak punya hati, kerana hati aku kini adalah sepasang bateri.

Ketika itu aku berada di depan kedai serbaneka 7-11 untuk membeli sepasang bateri baru untuk menggantikan bateri ini. Kemudian seorang gadis berdiri di hadapan pintu, memegang seketul hati yang sudah buruk, berjahit di kiri dan atas, ber-plaster di bahagian kanan. Hati itu kelihatan seperti mahu mati, berdegup hanya beberapa kali dalam seminit.

Katanya, itu hati aku, yang dia jumpa di tepi Lebuhraya Persekutuan, dan dia mahu pulangkannya kepadaku. Aku memandang hati aku itu (jika benar ianya kepunyaanku), dan memandang beberapa helaian kertas berwarna biru tertulis angka satu di tangan. Pada ketika ini aku ditakdirkan untuk membuat keputusan;

 bateri baru ataupun hati yang lama?

No comments:

Post a Comment