"Papa, papa, Farah dapat markah penuh dalam matematik!" jerit anak gua di depan pintu pagar sekolah masa gua datang jemput dia tengahari itu. Perasaan gua bercampur bangga dan segan sebab anak gua menjerit macam gua duduk sebatu jauhnya, padahal jarak gua dengan Farah taklah sampai satu meter. "Pandai anak papa. Nanti papa belanja makan choki choki eh? Dah dah masuk dalam kereta. Hari dah nak hujan ni." Budak-budak ni tak boleh bagi muka sangat, nanti naik lemak. Muka Farah terus bertukar jadi masam. Keh keh keh. Gua memang pandai didik anak.
***
Sampai di rumah, Farah terus berlari mendapatkan emaknya, mengadu sebab gua hanya belanja dia choki choki. Hai, budak-budak zaman sekarang memang tak pandai menghargai kelazatan choki choki. Gua melabuhkan punggung gua atas kerusi malas, sambil buka surat khabar semalam yang belum sempat gua baca. Maklumlah, kerjaya gua sekarang jarang bagi peluang untuk gua rehat-rehat baca surat khabar.
"Choki choki saja? Saya ingatkan awak guna choki choki sebab nak mengorat saya je dulu. Dengan anak pun awak guna?"
Tanya bini gua. Gua tutup surat khabar, gua letak tepi. Lagipun tak ada guna baca berita semalam. Bini gua lagi menyeronokkan daripada surat khabar.
"Alah, budak-budak, biarlah. Bagi banyak sangat, nanti naik lemak."
Gua membalas dengan keyakinan tinggi. Bini gua hanya mampu tersenyum. Sebagai seorang suami yang mithali dan ayah yang hebat, gua faham maksud senyuman bini gua itu.
"Alah, saya main-main sajalah. saya bukannya kedekut sangat dengan anak sampai nak belanja choki choki saja. Saya nak bawa dia makan bufet malam ni. Surprise la katakan. Mahu?"
"Hehe tau pun awak. Penat-penat saya ajar dia matematik siang malam, awak belanja choki choki je."
"Alah saya bukan tak nak ajar, tapi awak pun tau kan, dulu saya pernah fail add math. Trauma tu masih ada sampai sekarang."
Jelas gua sambil mengimbau kenangan gua kat sekolah dulu. Gua memang tak minat matematik tambahan daripada dulu lagi. Gua lulus pun sebab bekas kekasih gua dulu tolong ajar.
"Awak, betul ke ini kehidupan yang awak nak?"
Tanya bini gua secara tiba-tiba. Gua tersentak.
"Kenapa awak tanya?"
Gua tanya balik dalam nada keliru. Kalau lu orang tak tahu macam mana, sila tonton drama dengan lebih giat lagi.
"Awak tahukan semua ini hanya khayalan imaginasi awak? Saya dengan Farah tak wujud. Awak pun bukannya arkitek."
"Hah? Apa awak cakap ni?"
Gua semakin keliru.
"Awak, awak hanya berkhayal. Awak masih belum kahwin, belum ada anak, belum bekerja. Awak belajar pun belum habis lagi. Ada hati nak jadi arkitek, nak kahwin dengan wanita cantik macam saya. Awak sekarang ni masih di tahun 2010, bukan 2020."
"Awak biar betul. Awak jangan main-main. Saya mana pernah ambil dadah sampai nak khayal-khayal macam ni."
Tanya gua dengan muka berpeluh macam baru lepas main bola.
"Percayalah, awak hanya berkhayal. Awak patut sedar sekarang, habiskan pelajaran awak, dan dapatkan kerja yang bagus. Kemudian saya pasti akan muncul dalam hidup awak."
"Hah? tidak! tidakk! tidakkkk!!"
Persekitaran gua jadi gelap.
***
Gua buka mata. Gua capai handphone. Gua tengok tarikh. 13 Dis 2010. Cis, ternyata gua hanya berkhayal.
No comments:
Post a Comment