Saturday, June 28, 2014

Hikayat Sudin

      Tuala merah milik ibu diikat ketat di leher, meninggalkan satu lagi sudut hujung beterbangan ditiup angin. Goggle skuba ayah disarung kemas sejajar dengan pandangan ufuk, agar visi tak terganggu oleh habuk. Rambut dibelah kemas ke sisi bahagian kiri agar tampak kacak untuk tatapan para gadis yang hanya wujud dalam imaginasi liar Sudin. Sudin sudah bersedia.
 
      Angin bertiup agak kencang pada petang itu, sehinggakan Mak Leha kepenatan berusaha menenangkan kain batiknya agar kekal menutup aurat Mak Leha daripada menjadi tatapan umum sambil cuba menghabiskan tugasnya untuk mengangkat kain jemuran. Sudin ketawa kecil. Berbekalkan surah Al-Fatihah yang baru dihafal, Sudin mengetap gigi dan melompat  terjun daripada tingkat 16 flat PPRT Sentul.

      Sudin punya satu kepercayaan, bahawa dia kelahiran semula Superman, yang pada hemat Sudin sebenarnya memang wujud, namun sudah mati kerana mana ada makhluk kekal abadi, kecuali yang Maha Esa. Yang ada cuma kelahiran semula, dan Sudin percaya dialah kelahiran semula Superman. Namun, ini hanyalah pemikiran kurang matang seorang budak berusia 6 tahun yang anti-sosial, yang hanya duduk di rumah menghadap peti televisyen menonton animasi kartun dan Melodi. Sedang daya geseran antara muka Sudin dan udara bertindak balas, Sudin sedikit demi sedikit mula berasa ragu-ragu akan kebenaran kewujudan Superman dan teori kelahiran semula. Belum sempat Sudin habis berfikir akan logiknya teori tersebut, satu lagi teori sedang sedang ter-demonstrasi, dimana pabila satu objek dalam keadaan mobil bertemu objek dalam keadaan statik, maka satu reaksi tidak menyenangkan akan berlaku. Teori itu terbukti pabila tengkorak dahi Sudin menyembah bumi mengakibatkan bebola mata Sudin beterbangan ke arah berasingan. Gigi Sudin bergerak laju memecah velositi angin dan terpacak di dinding Mak Leha. Jeritan Mak Leha menenggelamkan laungan azan Maghrib yang berkumandang di masjid berdekatan.

      Tamatlah riwayat Sudin, yang masih dalam dilema sama ada teori dan kepercayaan yang dipegangnya adalah sahih atau tidak. Malam itu solat terawikh berjalan seperti biasa menandakan bermulanya Ramadhan yang mulia.


Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

No comments:

Post a Comment