Tuesday, October 1, 2013

Ralat/Palat


"Perang sudah tamat! Perang sudah tamat!"
"Merdeka! Merdeka!"

Tempik seorang pejuang bangsa, diikuti sorakan pengikut-pengikut daripada belakang mengiakan kata-katanya. Mereka semua kelihatan gembira. Gembira kerana bebas daripada cengkaman penjajah, yang sudah memijak kita seperti daun kering selama lebih 400 tahun. Tapi bagaimana perang boleh tamat, kalau kita masih tidak bebas? Aku tutup dokumentari tersebut dan mengangkat punggung ke balkoni, berbekalkan seputung rokok sepanjang satu setengah sentimeter yang aku simpan daripada semalam. Hisap sikit-sikit. Jimat. Aku nyalakan, sedut segala nikotin, tar dan ejen karsinojen ke dalam paru-paru, dan hembuskan keluar bersama segala perit seksa keluhan hidup di planet ketiga daripada Matahari ini.

"Merdeka? Heh.. Merdeka kepala jimbit."

Hari-hari aku berperang dengan hidup. Hari-hari aku berperang dengan harga minyak yang semakin naik. Berperang dengan harga gula yang semakin naik. Berperang dengan harga ayam yang semakin naik. Berperang dengan harga teh tarik yang semakin naik akibat harga minyak yang naik. (Selepas ini mungkin harga air suam akan naik jika menurut ramalan pengkaji ekonomi tersohor yang mengajar di UiTM.) Tapi darah aku yang naik tak siapa yang peduli. Inilah logik demokrasi.
                
Aku berjuang dan berperang dengan hidup dalam pertarungan kalah mati. Dan hampir selalunya aku tewas. Ironiknya aku masih hidup, tidak mati. Kalau mati, itu mungkin lebih menyenangkan. Dan mungkin aku sememangnya mengharapkan aku kalah, dan mati. Tapi Dia telah menulis takdir aku lebih awal. Takdir aku untuk tewas, dan terus hidup, dan terus tewas. Hidup untuk merasa kekalahan aku, dan untuk merasa bagaimana sakitnya realiti mati itu, sebelum watak aku betul-betul dimatikan daripada muka bumi ini.
                
Hari ini aku cuma mampu kutip RM 3.20, hasil daripada jualan surat-surat khabar lama dan tin-tin kosong yang aku kutip sepanjang perjalan aku pulang daripada tempat kerja menaiki tren. Ya, aku menjual tin-tin kosong dan sampah-sarap itu bukan bererti aku tak punya pekerjaan. Tapi realiti pekerjaan di Malaysia ini hampir mirip kepada sistem perhambaan abdi di Mesir dahulu. Tapi bezanya jika aku ini adalah seorang  hamba abdi di Mesir, aku diberi peluang untuk membina piramid Giza yang mana dalam prosesnya memberi peluang untuk aku betul-betul mati. Sama ada dihempap batu, atau keletihan. Tak pun terkena jangkitan malaria (mungkin sudah wujud, atau belum. Maaf, aku tak buat kajian.  Aku Melayu. Aku harus kotakan persepsi global bahawa Melayu itu sifatnya malas) akibat sistem kesihatan yang tidak efisien dan mungkin tidak termasuk dalam Bajet Tahunan yang dibentangkan Firaun. Kini, pada tahun 2013 ini, aku diperhambakan kepada sistem Kapitalisma yang mana jauh lebih kejam. Aku diberi kerja hamba abdi, dan aku tidak dibenarkan untuk mati. Dibayar dengan gaji minima dan dipaksa hidup semaksima mungkin. Aku disuap dengan sistem Health Care dan insurans yang realitinya hasil daripada poket aku sendiri. Lucu. Poket aku sudah koyak berlubang, tapi mereka masih mampu korek dan korek sehingga koyaknya makin besar, dan akhirnya sudah tidak berupa poket. Pernah sekali aku masukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar, tapi ia terus menggelongsor jatuh dan terus jatuh ke arah balkoni lalu takdirnya dihabiskan dengan terhempap ke bahu jalan 10 tingkat di bawah lalu dilenyek treler 16 tayar. Aku berkabung selama 16 hari.
                
Usai rokok dihisap, yang mana hanya mengambil kurang tiga sedutan, aku sarung baju kemeja lusuh petak warna merah, yang aku beli sewaktu tahun pertama pengajian di universiti tempatan yang mana paksinya tertumpu ke arah menolong kaum bumiputera mencapai taraf borjuis (menurut definisi Karl Marx) dalam pecahan kelas sosial. (Heh, lucu.) Kucapai kunci kereta dan turun ke tingkat G apartment murah 'mampu-milik' yang aku beli melalui program yang diperkenalkan kerajaan; 1 Orang 1 Rumah(1O1R). Aku berjalan malas (Melayu) ke kereta, unlock, dan aku hidupkan enjin kereta. Perodua Viva 1.3 itu gagal dihidupkan. Melihat kepada jumlah isipadu minyak yang masih ada di dalam tangki, aku mengeluh. Enjin dimatikan. Lalu aku berjalan ke arah stesen komuter tanpa mengunci kereta. Siapa yang mahu mencuri kereta yang tak berisi minyak?
               
Telefon bimbit yang aku kutip dan pasangkan semula satu-persatu itu dengan duct tape berdering dengan nada monofonik yang di-set kepada paling tinggi. Manusia sekeliling berpaling dan memandang dengan sinis sambil membuat muka riak. Ada yang mengeluarkan telefon pintar mereka dan lantas membuka aplikasi Youtube  dan memilih lagu Blurred Lines versi eksplisit, lalu dimuat-turun dan ditetapkan sebagai nada dering. Semua itu dilakukan dengan senyuman nipis di hujung bibir berkumis lentik mereka. Misai mereka yang lentik itu turut ikut naik, seolah-olah misai itu sendiri mempersendakan telefon bimbit aku. Ada juga yang memakai Google Glass tapi tak perlulah aku cerita.
                
"Hello Tan Sri! Ya, ya, lagi 5 minit saya sampai. Ha ha ha biasalah, jalan jam sikit time-time macam ni. Kita inikan negara membangun. So benda-benda macam ni normal Tan Sri, normal." Aku sengaja kuatkan sedikit volume suara. Aku berlalu pergi meninggalkan mereka yang masih cuba mengutip malu yang bersepah di tepi jalan. 2013, dan kita masih menilai taraf sosial melalui harta benda.
                
Sebentar lagi, dalam 5 minit yang dijanji, (baca: janji Melayu) aku akan sampai ke Hotel Sheraton Imperial dan akan melalui satu sesi makan tengahari bersama Tan Sri Hamad membincangkan projek juta-juta yang hanya mendatangkan untung sebanyak RM 1800 kepada pemegang jawatan Penolong Arkitek seperti aku. Dalam 5 minit, taraf sosial aku akan berubah kepada pseudo-Borjuis untuk satu tempoh singkat. Dalam 5 minit, aku akan menjadi pencium bontot golongan kelas atasan. (Perlakuan ini sudah biasa aku praktikkan terhadap pensyarah dulu, jadi tiada masalah.) Dalam 5 minit, aku akan menjadi seorang hipokrit.
                
"A man's got to do what a man's got to do." - John Steinbeck, Grapes of Wrath

                

No comments:

Post a Comment