Monday, July 25, 2011

BUNGA POPI - SN Usman Awang.

BUNGA POPI

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
hasil manusia gila perang membunuh mesra,
bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
perang dalam kenangan penuh kengerian,
sekarang dalam kepahitan,
dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
hilang pergantungan, hilang pencarian,
hidup kebuluran,
ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!

Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
bunga darah merah menyimbah,
penuh kengerian.

Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Usman Awang
1955

Tuesday, July 19, 2011

Semenjak Dua Menjak.

Semenjak dua menjak ni, gua makin sibuk dengan pekerjaan harian. Maklumlah, gua orang sesak. Kenalah cari duit sikit nak bagi anak bini makan. Makanya, semenjak dua menjak ni jugak gua dah tiada idea untuk menulis. Haihh. Gua harap benda ni tak berterusan.

Friday, July 8, 2011

Misi.

Di atas bumbung KLCC ada dua kelibat kelihatan. Seorang duduk, seorang berdiri. Seorang warga Amerika Syarikat, seorang daripada Federasi Rusia. 


" Tinggi juga KLCC ni," kata Sergey Gorbachov, perisik KGB itu kepada Charlie McFarland.


Sergey Gorbachov, seorang perisik rahsia di bawah KGB yang dikatakan sudah dibubarkan pada 1991. Namun kehadirannya membuktikan organisasi rahsia itu masih wujud. Beliau di sini atas satu tugas, tugas yang amat sukar untuk dilaksanakan.


" Bolehlah. Aku dah duduk di atas bangunan yang lebih tinggi. Lagipun ini hanya bangunan kelima tertinggi. " Balas McFarland, juga seorang perisik rahsia dalam organisasi MI-6 di United Kingdom. McFarland juga dalam misi yang amat sukar. Misi yang hampir mustahil untuk dilakukan.


Gorbachov dan McFarland dahulu memang rapat. Dibesarkan sekali oleh seorang bapa angkat di sebuah pedalaman Kanada. Namun, mereka terpisah apabila mereka terpaksa dipulangkan ke negara masing-masing atas sebab-sebab keselamatan. Kini, setelah hampir 20 tahun, mereka bertemu kembali.


" Aku perlu bunuh kau. Itu misi aku. " kata Sergey. 


" Aku juga." balas McFarland.


Itu arahan mereka, yang patut mereka patuh. Mereka tiada pilihan. McFarland sudah menggenggam Desert Eagle 44 kaliber, manakala Gorbachov sedang menggilap Zlatoust RB-12 Bandaevskogo, shotgun kegemarannya. 


Masing-masing tersenyum pahit.

Apron Hijau dan Suit Itali.

Marina melangkah longlai ke dalam pejabat pengurusan. Selepas selesai memasukkan kata kunci di skrin komputer, Marina mencapai apron hijau dan topi hitam berlambang yahudi lalu melangkah ke ruang tengah kafe bersedia untuk mengambil pesanan pelanggan. Marina mengeluh, tanda bosan dengan kehidupannya. Hidup yang tiada perubahan dan cabaran. Marina perlukan sesuatu yang lebih daripada itu. 

Sedang Marina mengeluh tentang nasibnya, tiba-tiba pintu kafe dibuka. Seorang lelaki berkumis nipis berambut kemas melangkah masuk. Lelaki itu memakai suit gaya Itali berwarna biru pekat dan berkaca mata gelap. Amat segak. Mungkin orang korporat, fikir Marina. Lelaki segak itu duduk di meja hujung dan mengeluarkan senaskhah The Greater Journey, oleh David McCullough. Tiba-tiba Marina merasakan sesuatu yang aneh, hatinya berdebar-debar. Perasaan, mungkin, kata Marina. 

Marina melangkah ke arah lelaki tersebut. Pesanan, tuan? Tanya Marina sesopan mungkin. One Skinny Caramel Macchiato, please. Balas si lelaki dengan senyuman. Hati Marina bertambah berdebar. Marina melangkah ke dapur tanpa membalas senyuman si lelaki tersebut. Marina berpeluh-peluh. Marina cuba menenangkan dirinya.

Sebentar kemudian Marina kembali dengan secawan Skinny Caramel Macchiato di tangan. Marina meletakkannya di atas meja selembut mungkin. Marina cepat-cepat ke dapur tanpa sempat lelaki itu berterima kasih. Muka Marina merah padam. Hati Marina berdebar-debar. Marina tidak faham kenapa dia bereaksi begitu.

Kemudian Marina dipanggil untuk mengemas meja. Marina memberanikan diri untuk keluar. Marina lihat ke arah meja di hujung kafe tersebut. Kosong. Marina sedikit kecewa. Marina menagangkat cawan yang ditinggalkan di atas meja tersebut untuk dibawa ke dapur. Tiba-tiba sekeping kertas jatuh ke lantai. Marina mencapai kertas tersebut, dan Marina buka. Ada beberapa digit nombor dan sebuah nama, Callen. Marina memandang ke luar tingkap, sambil tersenyum.

Hidup Marina tidak lagi seperti dulu.

Tuesday, July 5, 2011

Head To Toe.


Kadang-kadang ada yang tak sedar bagaimana perasaan orang sekeliling terhadap mereka.

Video diambil daripada Filmgeneration.